Monday, May 04, 2009

SELANGOR SEDIA LAWAN KENAIKAN TARIF.....

KENYATAAN AKHBAR
31 Mac 2009

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor kesal terhadap keputusan Kerajaan Persekutuan yang membenarkan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) untuk terus beroperasi sebagai konsesi dan yang secara langsung menyetujui permintaan Syabas hendak menaikkan tarif air.
Keputusan tersebut bukan sahaja mendatangkan kesan terhadap pentadbiran negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, sebaliknya terhadap pembayar cukai seluruhnya.
Malahan, Kerajaan Selangor berpendapat Syabas tidak layak diberikan lesen kerana ia gagal memperlihatkan prestasi yang memberangsangkan sebagaimana dikehendaki oleh Akta Perkhidmatan Industri Air 2006.
Sehingga kini, perkhidmatan Syabas yang tertakluk pada Perjanjian Konsesi (Concession Agreement - CA) dilihat sangat tidak memuaskan dan gagal mencapai tanda aras atau parameter yang ditetapkan CA.
Tambahan pula Syabas didapati melanggar syarat-syarat dalam CA. Perkara ini sudahpun dibawa ke pengetahuan Menteri Tenaga, Air dan Telekomunikasi, di samping permohonan kita untuk membatalkan Perjanjian Konsesi (CA) dengan Syabas.
Walau bagaimanapun, Menteri berkenaan MASIH eggan mengambil tindakan terhadap Syabas, sebaliknya telah menyatakan hasrat untuk memberikan lesen kepada Syabas untuk meneruskan operasinya dengan alasan hak tersebut di luar kuasa Kerajaan Selangor.
Keputusan ini bukan sahaja bertentangan dengan hasrat Kerajaan Persekutuan untuk menyusun semula perkhidmatan air di Malaysia tetapi juga menjejaskan kepentingan pengguna seluruhnya.
Sebenarnya keputusan untuk menaikkan tarif air tidak dapat dipertahankan. Kerajaan Negeri Selangor percaya beberapa prasyarat bagi kenaikan tarif yang ditetapkan dalam Perjanjian Konsesi belum mampu dipenuhi oleh Syabas. Paling mendukacitakan, beberapa kepincangan ditemui semasa audit dilakukan, dan hal ini menguatkan lagi alasan betapa tidak layaknya Syabas memikul tanggungjawab meneruskan operasi air.
Justeru itu, berdasarkan pendirian keras yang diperlihatkan oleh Kerajaan Persekutuan dan kesan buruk yang bakal menyusul daripada tindakan tersebut, terutamanya terhadap kepentingan awam, maka Kerajaan Negeri Selangor tiada pilihan lain, sebaliknya mengambil tindakan undang-undang untuk mencari jalan penyelesaian.
Kerajaan Pakatan Rakyat berharap rakyat akan terus memberi sokongan padu kepada Kerajaan Negeri dalam penstrukturan semula perkhidmatan air diSelangor. Untuk memahami isu-isu terbabit dalam pengurusan air di Selangor, orang ramai bolehlah melayari laman web rasmi berhubung isu ini di http://www.airuntukrakyat.com.
SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT MENTERI BESAR SELANGOR

1MALAYSIA:SEKADAR KOSMETIK DAN LUNAK RETORIK....

“Kita Anak Malaysia, Satu Malaysia”
………
Laungan di atas cukup melunakkan setelah Pakatan Rakyat difitnah sebagai alat Cina!
Setelah didapati dukungan Cina dan India terhadap Umno-BN merosot parah, maka dikumandangkan semula slogan satu Malaysia.
Alahai mirip “Malaysian Malaysia” yang dituntut DAP sekian lama tetapi diserang Umno sebagai perkauman Cina. Akhirnya pimpinan Umno sekonyong-konyong melutut kapada tuntutan perkauman.
Namun jika ditinjau mendalam, apa yang diamalkan adalah sekadar kosmetik, atau botox yang menggantikan bedak sejuk dan celak. Kelonggaran dan liberalisasi adalah untuk menawan hati pengusaha kaya Cina asalkan tidak menjejaskan kepentingan projek, kontrak dan habuan kroni mereka.
Ini berbeda dengan gagasan kita merangka Agenda Ekonomi Malaysia yang menjurus kapada kepentingan rakyat terbanyak, termasuk kaum majoriti Melayu-Bumiputera terpinggir dan miskin atau Cina dan India lainnya.
Dan isu lebih mendesak dari sudut prosedur tender, ketelusan, mengelak amalan boros, rasuah dan pembaziran tidak ditangani.
Demikian slogan ampuh. Bagaimana pula dengan pengamalan “Satu Malaysia”? Lihat saja mesej perkauman dan asabiyah sempit dalam kursus BTN!
Di media umum dibicara perpaduan satu Malaysia. Tetapi dalam kursus diracuni fahaman Melayu terjerat akibat gelojoh Cina dan muslihat serta khianat Anwar Ibrahim dan Tuan Guru Nik Aziz. Bukankah munafik namanya?
Lagi pun tujuan mereka adalah untuk menyalahkan kalangan lain dan bukannya penjenayah dan perasuah besar yang menyebabkan Melayu hidup merempat setelah diperintah Umno selama satengah abad.
Disebalik tabir, dalam gelap dan berselindung mereka menyerang tetapi bacul manakala berdepan!

ANWAR IBRAHIM

APA NAK JADI....

KELULUSAN KABEL ELEKTRIK DI DASAR LAUT
30 April 2009

Parti Keadilan Rakyat merasa terperanjat kerana kelulusan yang diberi oleh kerajaan baru-baru ini untuk membina kabel kuasa elektrik menghubungi Sarawak dengan Semenanjung bagi bekalan elektrik dari Bakun. Kerajaan mendakwa harga kabel dan penyaluran elektrik ini lebih murah daripada menjana kebolehan (kapasiti) yang perlu di Semenanjung. Kami menggesa Kerajaan supaya mengeluarkan angka-angkanya untuk diperiksa.Selanjutnya, kami meminta Kerajaan menunjukkan di manakah EIA dan rancangan pengurusan risiko yang menjadi asas bagi membuat keputusan ini. Adakah ini satu lagi kes buat dulu kemudian keluarkan EIA?Kami ingin bertanya: adakah Kerajaan bersedia Semenanjung terdedah kepada kemungkinan malapetaka kegagalan? Misalnya, apa akan jadi kepada kabel yang dicadangkan itu seandainya berlaku malapetaka seperti yang menimpa hubungan internet akibat gempa bumi berdekatan Taiwan pada bulan Disember 2006? Dengan internet boleh dilakukan “rerouting” (pelencongan) - bahkan inipun mengganggu internet selama beberapa minggu. Tetapi ini tidak boleh dilakukan kepada elektrik, ataupun boleh dilakuan hanya dengan harga yang mahal. Buktikan kepada kami penilaian risiko yang telah dibuat.Kita ketahui sekarang ini rakyat Sarawak, terutama sekali mereka di kawasan pedalaman, tidak mendapat bekalan elektrik yang cukup. Mengapakah mereka tidak diberi keutamaan supaya medapat bekalan elektrik yang termampu?. Menteri yang bertanggungjawab tentu menyedari tentang sentimen yang meluas bahawa Persekutuanlah yang mendapat manfaat lebih daripada sumber-sumber hasil Sarawak. Kami yakin rakyat di Persekutuan pun mahu rakyat Sarawak mendapat manfaat utama dari Bakun. Kami tidak ingin melihat keadaan berterusan manakala orang kampung terpaksa membayar sampai RM60 sebulan bagi bekalan elektrik kira-kira 4 jam sehari saja.Akhirnya, ada beberapa kenyataan ganjil yang dilaporkan oleh media. Akhbar The Star melaporkan menteri berkenaan menyatakan Semenanjung akan diberi bekalan sebanyak 10,000 megawatt. Bagaimana ini boleh berlaku manakala Bakun hanya boleh menjana 2,400 megawatt?

DR SYED HUSIN ALI
Timbalan Presiden, PKR