Monday, September 08, 2008

FADHILAT RAMADHAN........

Hadith 1
Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Umatku telah dikurniakan dengan lima perkara yang istimewa yang belum pernah diberikan kepada sesiapa pun sebelum mereka. Bau mulut daripada seorang Islam yang berpuasa adalah terlebih harum di sisi Allah daripada bau haruman kasturi. Ikan-ikan di lautan memohon istighfar (keampunan) ke atas mereka sehinggalah mereka berbuka puasa".
Allah mempersiapkan serta menghiasi jannah yang khas setiap hari dan kemudian berfirman kepadanya: "Masanya telah hampir tiba bilamana hamba-hambaKu yang taat akan meninggalkan segala halangan-halangan yang besar (di dunia) dan akan mendatangimu."
Pada bulan ini syaitan-syaitan yang durjana dirantaikan supaya tidak menggoda mereka ke arah maksiat-maksiat yang biasa mereka lakukan pada bulan-bulan selain Ramadhan. Pada malam terakhir Ramadhan (orang-orang yang berpuasa ini) akan diampunkan." Maka sahabat-sahabat Rasulullah SAW pun bertanya: "Wahai Pesuruh Allah, adakah itu malam lailatul Qadar?" Dijawab oleh Rasulullah SAW: "Tidak, tetapi selayaknya seorang yang beramal itu diberi balasan setelah menyempurnakan tugasnya."

Hadith 2
Ubadah Bin Somit ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda pada suatu hari ketika Ramadhan hampir menjelang: "Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, di mana Allah melimpah ruahkan di dalamnya dengan keberkatan, menurunkan rahmat, mengampuni dosa-dosa kamu, memakbulkan doa-doa kamu, melihat di atas perlumbaan kamu untuk memperolehi kebaikan yang besar dan berbangga mengenaimu di hadapan malaikat-malaikat. Maka tunjukkanlah kepada Allah Taala kebaikan dari kamu. Sesungguhnya orang yang bernasib malang ialah dia yang dinafikan daripada rahmat Allah pada bulan ini."

Hadith 3
Abu Sa'id Al Khudri ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Setiap hari siang dan malam pada bulan Ramadhan, Allah Tabaraka wa Taala membebaskan begitu banyak sekali roh daripada api neraka. Dan pada setiap orang Islam pada setiap hari siang dan malam doanya pasti akan diterima."

Hadith 4
Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Terdapat tiga jenis orang yang doa mereka tidak ditolak; doa daripada orang yang berpuasa sehinggalah dia berbuka puasa; imam (penguasa) yang adil, dan orang yang dizalimi yang kerana doanya itu Allah mengangkatnya melepasi awan dan membuka untuknya pintu-pintu langit dan Allah berfirman: "Daku bersumpah demi kemuliaanKu, sesungguhnya Daku pasti menolongmu walaupun pada suatu masa nanti."

Hadith 5
Ibn Umar ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya mengirim rahmat ke atas mereka yang memakan sahur."

Hadith 6
Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa berbuka satu hari di siang hari bulan Ramadhan tanpa alasan yang wajar (disegi syariah) atau sakit yang kuat, tidak akan dapat menampung atau mengganti hari tersebut walaupun akan berpuasa sehingga ke akhir hayatnya."

ISU MB SELANGOR; PUTAR BELIT MEDIA ARUS PERDANA

September 8th, 2008 at 5:04 pm

KENYATAAN MEDIAANGKATAN MUDA KEADILAN MALAYSIA
8 SEPTEMBER 2008
ISU MB SELANGOR; PUTAR BELIT MEDIA ARUS PERDANA
Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia kecewa dengan laporan berat sebelah yang dimainkan oleh media arus perdana berkaitan isu MB Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak turun padang meninjau keadaan mangsa ribut di beberapa kampong di Selangor baru-baru ini.
Media arus perdana cuba menggambarkan bahawa MB Selangor tidak mempedulikan nasib rakyat yang ditimpa malapetaka dan menganggap perbuatan tersebut hanya membazirkan masa beliau semata-mata.
Hakikatnya, beliau telah mengarahkan 2 orang Exconya iaitu YB Rodziah dan YB Dr Halimah Ali untuk menguruskan hal tersebut. Malah beliau turut mengarahkan melalui sms supaya mangsa ditempatkan di dewan dan memberi jaminan makanan serta perlindungan dengan segera. Selanjutnya beliau memantau perkembangan berkaitan secara dekat melalui 2 Exco tersebut disamping terus mengusahakan bantuan tambahan buat mangsa.
Namun begitu, AMK menasihati Tan Sri Khalid supaya lebih berhati-hati membuat kenyataan memandangkan Barisan Nasional khususnya UMNO akan sentiasa mengambil kesempatan dan peluang untuk menyerang pimpinan negeri-negeri di bawah pakatan rakyat. AMK tetap menegaskan bahawa tindakan menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat khususnya ketika dilanda bencana merupakan tindakan yang tidak boleh dianggap membuang masa serta membazir.
AMK Malaysia dengan dibantu AMK Selangor akan terus memantau perkembangan masalah banjir yang menimpa rakyat di Dun Selat Kelang dan melalui Skuad AMK akan membantu serta bekerjasama dengan mana-mana pihak didalam memberi khidmat kepada rakyat yang memerlukan.

Khairul Anuar Ahmad Zainudin
Naib KetuaAngkatan Muda Keadilan Malaysia
merangkap Ketua Angkatan Muda Keadilan Selangor

Sunday, September 07, 2008

PERUTUSAN HARI KEMERDEKAAN

30 Ogos 2008

Menemukan Kembali Erti Kemerdekaan 31 Ogos ini genaplah 51 tahun berdirinya Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat. Semenjak dari tarikh keramat kemerdekaan, kita rakyat Malaysia telah lalui bersama saat-saat sukar dan detik kejayaan. Kita menaruh harapan untuk melihat Malaysia yang adil, makmur dan perkasa 51 tahun lalu rakyat negara ini telah membuat pilihan untuk berdiri sendiri, bebas dari pemerintahan penjajah, bersetuju bahawa negara ini ialah negara hukum yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen. Rakyat Malaysia membuktikan mereka berani untuk memilih dan membuat keputusan. Memilih yang terbaik buat Malaysia. Namun genap 51 tahun merdeka kita sekali lagi berada di persimpangan. Kita melihat perlembagaan diperlekehkan, demokrasi diinjak dan institusi kenegaraan dijadikan alat penguasa. Sudah tiba masanya kita rakyat Malaysia membuat pilihan untuk menemukan kembali erti kemerdekaan negara ini. Adalah menjadi tanggungjawab kita sekarang untuk memastikan demokrasi bernafas semula di negara ini, keluhuran perlembagaan kembali dijunjung dan kedaulatan undang-undang terbina kukuh.Marilah kita perbaharui persetujuan yang kita buat bersama 51 tahun dahulu; memastikan negara Malaysia ini kekal bebas dan merdeka.

ANWAR IBRAHIM
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat
Ketua Pembangkang Dewan Rakyat
Ahli Parlimen Permatang Pauh